Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

KUALA LUMPUR – Dua Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan pemberian bonus kepada penjawat awam masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Di Kota Bharu, Kelantan, Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2025 sebanyak RM500 akan disalurkan kepada seramai 9,000 anggota perkhidmatan awam di negeri itu.

Katanya, sumbangan itu melibatkan kos sebanyak RM5 juta yang akan disalurkan esok sama seperti yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, bantuan itu turut melibatkan pegawai-pegawai lantikan politik, guru-guru pondok, namun dengan nilai berlainan kerana mereka bukan tergolong dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

Selain itu, beliau turut mengumumkan tarikh 30 Mac atau Ahad ini sebagai cuti peristiwa bagi memberi keselesaan kepada seluruh penduduk Kelantan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Sabah, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan memaklumkan pemberian BKK sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam negeri bagi sambutan Aidilfitri dan Kaamatan.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sejumlah RM500 akan diberikan menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, manakala baki RM500 lagi akan diberikan menjelang sambutan Kaamatan pada Mei depan.

BKK itu akan memberi manfaat kepada lebih 21,500 penjawat awam di Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here