Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian 5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci dakwaan kewujudan satu pertubuhan tidak berdaftar dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China Di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.

Persatuan ini didakwa mempunyai kecenderungan mempromosi fahaman dan amalan komunis di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan di bawah peruntukan Seksyen 41/43, Akta Pertubuhan 1966; Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

Menurutnya, PDRM memandang serius dakwaan kewujudan satu pertubuhan ini selepas  mengambil maklum mengenai video tular berdurasi dua minit dan 57 saat itu yang diterima oleh orang awam, kelmarin.

Tegasnya, sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis secara halus mahupun terbuka adalah bertentangan dengan Prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak tahun 1948, dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman ini boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, PDRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan terhadap pertubuhan yang disebut serta dakwaan-dakwaan berkaitan aktiviti tidak berdaftar, penggunaan simbol-simbol komunis dan unsur subversif.

Tegas Razarudin, sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan ditangani dengan tegas berdasarkan lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menggugat Keharmonian antara kaum di negara ini.

Sebaliknya, masyarakat diseur untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kemada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan atau bahan yang belum disahkan kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here