MELAKA – Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus dari kadar biasa sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu yang ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet, membabitkan implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan sebanyak RM19.69 juta bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam 29 Mac 2025 bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol.
Diskaun itu tidak terpakai di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). – MalaysiaGazette