Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu supaya tidak mengambil mudah sokongan rakyat.

Bekas Ketua Menteri Sabah berkenaan berkata, sokongan rakyat kepada mana-mana parti tidak kekal memandangkan suasana politik sentiasa berubah.

Menurutnya, banyak parti politik sebelum ini tumbang kerana berasa terlalu selesa dan beranggapan kemenangan lama akan berulang, disebabkan gagal membaca perubahan mood rakyat.

“Pengundi sekarang lebih bijak. Mereka peduli isu sebenar seperti kos sara hidup, pekerjaan, integriti dan kejujuran pemimpin,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan peranan dan kepentingan media sosial yang merubah segala-galanya, termasuk sentimen rakyat yang boleh bertukar sekelip mata sekiranya mereka berasa tidak dihargai.

Katanya, rakyat mahukan pemimpin yang sentiasa mengambil tahu berkenaan masalah mereka, bukannya pemimpin yang turun padang hanya lima tahun sekali iaitu ketika musim pilihan raya umum.

“Sokongan rakyat perlu diusahakan. Ia datang daripada kepercayaan, bukti kerja, dan sikap rendah diri.

“Kesimpulannya, jika parti gagal fahami rakyat, rakyat akan pilih pemimpin yang lebih memahami mereka,” katanya.

Sebelum ini,  Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Oktober depan.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, Sabah masih mempunyai tempoh sehingga Oktober depan untuk membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here