KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa campur tangan segera dalam menghentikan penindasan sistematik terhadap umat Islam di India, khususnya dalam isu rampasan harta wakaf yang semakin berleluasa.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan kerajaan India merobohkan Masjid Takiya yang berusia lebih 100 tahun di Ujjain serta mengusir ratusan keluarga Muslim bagi memberi laluan kepada projek perluasan Kuil Mahakaleshwar.
Katanya, ini merupakan bukti jelas dasar sistematik yang bertujuan menghapuskan warisan Islam di negara itu.
Tindakan ini dakwanya bukan sekadar isu pembangunan, tetapi sebahagian daripada agenda lebih besar untuk melemahkan kedudukan umat Islam di India melalui pengambilan tanah wakaf secara tidak sah.
“India memiliki aset wakaf terbesar di dunia dengan lebih 872,000 hartanah yang dianggarkan bernilai USD 14.22 bilion tetapi kerajaan itu semakin giat mengambil alih tanah wakaf ini melalui pindaan undang-undang dan manipulasi birokrasi.
“Rang Undang-Undang Pindaan Wakaf 2024 yang dicadangkan oleh kerajaan Bharatiya Janata Party (BJP) memberi kuasa kepada bukan Islam untuk menganggotai lembaga wakaf, selain meletakkan kawalan penuh ke atas aset wakaf di bawah bidang kuasa kerajaan.
“Ini sekali gus menafikan hak umat Islam ke atas harta yang telah lama dikhaskan untuk tujuan keagamaan dan kebajikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kegagalan Kerajaan India untuk mengemas kini rekod tanah wakaf juga telah membolehkan banyak harta umat Islam diambil alih secara haram oleh pihak berkepentingan.
Jelasnya, situasi ini bukanlah kes terpencil, tetapi sebahagian daripada dasar yang semakin agresif, terutamanya di negeri-negeri seperti Madhya Pradesh, Uttar Pradesh dan Karnataka di mana tanah wakaf dirampas dan diserahkan kepada syarikat swasta atau pihak berkuasa tanpa sebarang ganti rugi adil.
“Mapim menegaskan dasar kerajaan pimpinan Narendra Modi ini mencerminkan agenda Hindutva yang lebih luas bertujuan menghapuskan pengaruh Islam dalam masyarakat India.
“Penindasan terhadap umat Islam bukan hanya melibatkan rampasan tanah wakaf tetapi juga tindakan merobohkan masjid, tanah perkuburan Islam serta membiarkan diskriminasi terhadap komuniti Muslim tanpa sebarang tindakan undang-undang yang adil,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Azmi mendesak OIC untuk mengambil langkah tegas termasuk menekan kerajaan India supaya menghentikan rampasan tanah wakaf dan perobohan masjid serta menuntut siasatan antarabangsa terhadap pemusnahan harta umat Islam.
Isu ini juga, katanya, perlu dibawa ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan India mematuhi konvensyen hak asasi manusia antarabangsa.
“Kita kecewa terhadap keheningan dunia Islam dalam isu ini. Negara-negara Islam, terutamanya yang mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh dengan India, perlu menggunakan pengaruh mereka untuk menekan New Delhi supaya menghentikan dasar diskriminasi terhadap umat Islam.
“Jika keadaan ini dibiarkan berterusan ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pencabulan hak terhadap masyarakat Islam di masa hadapan.
“Kita bersolidariti bersama umat Islam di India dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera bagi menghentikan rampasan sistematik terhadap harta dan warisan Islam di negara itu sebelum keadaan menjadi lebih parah,” tegasnya. -MalaysiaGazette