KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) meneruskan usaha kebajikannya dengan mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan di Kedah sempena bulan Ramadan.
Naimah, 44, dari Pokok Sena, merupakan antara penerima yang amat terkesan dengan ujian hidup.
Mengalami lumpuh separuh badan selepas diserang strok, dia kini mengalami pelbagai kesulitan dalam menguruskan kehidupannya.
Lebih membebankan, suaminya kerap keluar masuk pusat tahanan akibat ketagihan dadah, menyebabkan beliau terpaksa mengharungi kehidupan tanpa sokongan yang stabil.
Anak perempuan Naimah yang berusia sembilan tahun juga tidak dapat bersekolah kerana kekangan kewangan dan ketiadaan sumber pendapatan yang tetap menjadikan kehidupan mereka semakin sukar.
Namun, bantuan makanan asas yang diberikan sukarelawan MAPIM memberikan sedikit kelegaan buatnya dalam menyambut bulan Ramadan.
“Saya bersyukur dengan bantuan ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu saya dan anak untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Turut menerima bantuan ialah Fadzilah, dari Kampung Tok Jalai, Jitra yang hidup bersendirian sejak kematian suaminya 20 tahun lalu.
Wanita berusia 69 tahun itu hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan dan juga menghadapi cabaran membiayai kos rawatan kanser serviks yang dihidapinya.
Keadaan rumah pusaka yang semakin uzur dengan kebocoran dan kerosakan akibat anai-anai menambah lagi beban yang perlu ditanggungnya.
Kehadiran sukarelawan MAPIM dengan sumbangan makanan asas sedikit sebanyak memberikan kelegaan buatnya dalam menjalani ibadah puasa.
Dalam pada itu, Bendahari MAPIM, Muhammad Hidayat Abdullah berkata, sumbangan yang diberikan adalah hasil keprihatinan masyarakat dan pihaknya hanya menjadi perantara dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Setiap sumbangan yang diberikan bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi juga harapan kepada mereka yang memerlukan.
“Program bantuan ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain dalam masa terdekat bagi memastikan lebih ramai yang menerima manfaat,” katanya.
Fasa pertama misi ini menyaksikan 15 keluarga asnaf, pesakit kronik, dan anak yatim di Pokok Sena, Changlun, serta Jitra menerima sumbangan.
MAPIM menyasarkan pengagihan sebanyak 450 kotak sumbangan secara berperingkat sepanjang Ramadan bagi membantu lebih ramai keluarga memerlukan di negeri tersebut.- MalaysiaGazette