Pegawai Imigresen dibawa keluar dari kamar bicara Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku salah terima wang rasuah RM600

KUANTAN – Seorang pegawai imigresen menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Seysen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima wang rasuah sebanyak RM600 pada 2022.

Tertuduh, Rohaizi Ismail, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula ke atasnya oleh Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kamariah Seman di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Menurut kertas pertuduhan, pada 15 Mei 2022, Rohaizi didakwa menerima wang berjumlah RM300 melalui pindahan wang atas talian ke akaun bank miliknya, tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan sama pada 30 Julai 2022 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah sama pada 14 Mac 2024.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh hari ini, hakim kemudian mengenakan denda sebanyak RM3,000 terhadapnya dan penjara sebulan jika tertuduh gagal membayar jumlah tersebut.

Difahamkan, tertuduh yang kini digantung tugas di agensi tersebut menerima wang rasuah berkenaan daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi di daerah Temerloh sebagai balasan mempercepatkan urusan proses permit pekerja-pekerja asing di premis yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here