KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Firdaus Won Wai Hung mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kerana menjawab persoalan pampasan RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Bagaimanapun, Firdaus berkata, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa masih belum menjawab satu lagi persoalan sama ada tanah itu dibeli oleh pihak kuil atau diberikan secara percuma kepada mereka.
“Ia menang-menang apabila pohak penceroboh tanah didenda dan dihukum kerana melakukan jenayah ceroboh tanah dan pihak Jakel mendapat ganti rugi daripada mereka yang menceroboh yang menyebabkan pembinaan masjid tertangguh selama 10 tahun,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Katanya, dia bukan ahli politik dan tidak ada kepentingan politik.
Namun, dia tidak bersetuju dan mengkritik tindakan kerajaan terdahulu dari zaman Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan sekarang yang memberikan tanah percuma kepada penceroboh yang membina rumah ibadat secara haram.
Sebelum ini, Firdaus mempersoalkan adakah pihak kuil perlu membeli tanah yang ditawarkan atau diberi percuma atau kerajaan beli dan hadiahkan.
Katanya, kalau pihak kuil beli dengan harga pasaran, baguslah.
“Kalau diberi percuma atau kerajaan beli/hadiahkan, ianya menyelesaikan masalah yang akan menyebabkan lebih banyak masalah akan timbul.
Maka kerajaan akan hilang banyak tanah pada masa hadapan untuk ‘dihadiahkan’ kepada penceroboh tanah yang membina rumah ibadat diatas tanah kerajaan atau orang lain,” ujarnya.
Sedangkan, masjid dan surau perlu berusaha mendapatkan dana untuk membeli tanah, memohon kelulusan pihak pihak berkuasa tempatan sebelum boleh membina surau atau masjid.
Begitu juga dengan gurdhwara dan gereja, kata Firdaus lagi. – MalaysiaGazette