Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada sesi perbincangan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan RUU PSB. - Foto: FB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim melahirkan rasa hairan dengan pengecualian yang diberikan kepada kawasan tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Namun, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkenaan, perlindungan sama tidak diberikan kepada tanah rizab Melayu yang juga sepatutnya dilindungi menerusi RUU itu.

Situasi itu, jelas beliau, seolah-olah tanah rizab Melayu tidak diberikan kepentingan sama seperti tapak warisan.

Sementara itu, katanya, RUU PSB bukan sekadar ancaman kepada orang Melayu, tetapi juga kepada semua kaum di negara ini.

Ini kerana, dakwanya, RUU itu jika diluluskan dalam bentuk asal (deraf November 2024) tanpa pindaan, ia boleh menjadi alat bagi golongan berkuasa dan kaya untuk terus menguasai kawasan bandar, sementara golongan miskin semakin dipinggirkan.

“Ini bukan soal perkauman, tetapi satu pertempuran kelas di mana golongan yang berada akan terus menekan golongan yang kurang berkemampuan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Terdahulu, beliau menyertai majlis berbuka puasa dan perbincangan berkenaan RUU PSB itu bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, RUU PSB juga memberikan kuasa besar kepada badan Eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri untuk menentukan kawasan pembangunan tanpa mekanisme pampasan yang jelas kepada pemilik asal.

Lebih membimbangkan, kata beliau, RUU itu dilihat bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak terhadap harta rakyat.

“Jika tidak dikawal, kesan jangka panjangnya boleh membawa kepada polarisasi kaum, di mana kawasan elit hanya akan didiami oleh satu kaum, manakala kaum lain akan terpinggir akibat gentrifikasi,” katanya.

Tambahnya, meksipun tidak menafikan pembangunan semula bandar adalah sesuatu yang penting, namun ia tidak boleh dilaksanakan dengan mengorbankan hak rakyat yang lebih lemah demi keuntungan golongan berkepentingan.

“Oleh itu, sebarang pelaksanaan URA (PSB) mesti dikaji dengan lebih teliti agar ia tidak menjadi alat peminggiran dan penindasan terhadap rakyat marhaen,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here