Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli menjadi imam di Masjid Cheongju Islamic Centre sepanjang Ramadan 2025.

CHEONGJU – Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli, pelajar tahun akhir dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), sekali lagi mencatat sejarah apabila terpilih sebagai imam solat tarawih di Masjid Cheongju Islamic Centre sepanjang Ramadan 2025.

Ini merupakan kali kedua beliau diberi kepercayaan selepas pengalaman pertamanya pada tahun 2023.

Anak bongsu daripada empat beradik ini berasal dari Hulu Selangor dan mempunyai latar belakang pendidikan tahfiz yang kukuh.

Beliau menghafal 30 juzuk al-Quran sejak di Maahad Tahfiz Islamiyyah Mawaddah, Langkap, Perak.

Bakat serta dedikasinya dalam bidang keagamaan menjadikan beliau pilihan utama untuk memimpin solat di luar negara, khususnya dalam komuniti Muslim di Korea Selatan.

Menurut Nizamuddin, peluang ini bukan sahaja memberikan pengalaman berharga tetapi juga menjadi latihan industri yang sempurna baginya sebelum menamatkan pengajian di USIM.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi. Walaupun ada sedikit gementar, namun saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga, rakan-rakan, dan para pensyarah untuk meneruskan misi ini,” katanya.

Beliau memulakan tugasnya sebagai imam rawatib dan tarawih di Masjid Cheongju bermula 27 Februari hingga 2 April 2025 ini.

Selain menjadi imam solat, beliau juga menjalankan pelbagai tanggungjawab lain seperti menyampaikan kelas talaqqi al-Quran, menjadi muazzin, saksi nikah, serta membantu Sheikh Ayman Turk, pengasas masjid tersebut.

Cabaran utama yang dihadapi Nizamuddin di Korea Selatan termasuk perbezaan budaya dan mazhab fiqh. Majoriti jemaah di Masjid Cheongju berasal dari Uzbekistan dan mengamalkan Mazhab Hanafi, berbeza dengan kebiasaan Mazhab Syafii yang diamalkan di Malaysia.

Namun, beliau mengambil pendekatan terbuka dengan mendalami ilmu fiqh antarabangsa bagi menyesuaikan diri dengan jemaah di sana.

“Saya mengulang hafazan al-Quran selama tiga bulan, belajar asas bahasa Korea dan Uzbekistan, serta mendalami ilmu fiqh berkaitan keperluan masyarakat Islam di sana. Selain itu, saya juga mempersiapkan keperluan diri dengan pakaian musim sejuk yang sesuai bagi menghadapi cuaca di Korea”, ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai pesanan ibunya sebelum berangkat, beliau berkata: “Ibu berpesan supaya menjaga diri dan iman. Korea adalah negara maju yang mempunyai ramai penduduk berfahaman atheis dan Kristian. Saya perlu berhati-hati serta memastikan Ramadan saya di sini dimanfaatkan sebaik mungkin.”

Nizamuddin juga berharap lebih ramai penghafaz al-Quran tampil menonjol dan membawa ilmu mereka ke peringkat antarabangsa.

“Kita tidak tahu rezeki datang dari mana. Dunia perlukan kita. Penghafaz al-Quran ibarat al-Quran bergerak, dan kita harus membuktikan bahawa pelajar tahfiz mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dengan penuh semangat.

Dengan semangat juang dan dedikasi yang tinggi, Muhammad Nizamuddin membuktikan bahawa ilmu dan amal boleh membawa seseorang jauh, malah hingga ke persada antarabangsa.

Kejayaannya menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai impian, tidak kira di mana jua mereka berada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here