Tangkap layar hantaran di laman Komuniti Koperasi Permodalan Felda (KPF)

KUANTAN – Pencarum Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) tidak puas hati berhubung kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen.

Menerusi tinjauan di beberapa hantaran di laman Komuniti KPF di aplikasi Facebook, ada dalam kalangan mereka mendakwa belum menerima pembayaran yang dituntut sejak 2023.

“Saya buat dari awal tahun 2023 sampai sekarang tidak tahu status lagi,” kata salah seorang ahli koperasi itu.

“Saya dah lebih dua tahun mohon pengeluaran masih belum ada khabar berita. Apa nak jadi dengan KPF yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan warga Felda,” kata individu lain.

Dalam satu hantaran, salah seorang daripada mereka berkata, dia terpaksa meminjam duit untuk menampung menyediakan kelengkapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jelasnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana masih belum dapat mengeluarkan saham KPF selain tiada pendapatan lain berikutan ketiadaan hasil di ladang yang kini melalui proses penanaman semula.

Sementara itu, salah seorang pencarum, Norassahidan Ngah, 37 memberitahu MalaysiaGazette bahawa dia telah beberapa kali cuba menghubungi pejabat KPF, namun panggilannya tidak pernah dijawab.

“Sudah dua tahun tiada maklumat tentang status permohonan pengeluaran. Saya dah pun buat aduan kepada Suruhanjaya Koperasi (SKM), tapi tiada apa-apa tindakan lanjut pun.

“Ni kes saya. Tapi, bayangkan orang tua kita, peneroka penerokawati yang di Felda tu nak keluarkan duit sendiri pun seolah-olah disekat,” katanya yang telah mencarum sejak tahun 2011.

Pada Julai 2024, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Semua bayaran penjualan saham kepada ahli-ahli KPF yang tertangguh sejak tahun 2023 akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

Ia selepas sekumpulan ahli KPF menyerbu pejabat itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada Mei 2024 untuk menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen sejak tahun 2023.

Beliau berkata, penjualan saham ahli KPF itu akan mengambil sedikit masa berikutan aset pelaburan dan modal koperasi itu yang kini bernilai lebih RM4 bilion sedang distruktur semula dan akan dicairkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here