Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi bekas minyak masak terpakai kepada peniaga pada Program FatHopes Bersama Ekosetiawangsa di Tapak Pasar Malam Jalan Seri Rejang 1, Setapak Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Syarikat kitar semula minyak masak terpakai untuk pengeluaran biofuel dan bahan api penerbangan lestari, FatHopes Energy berjaya mengumpul antara 2,000 hingga 3,000 kilogram minyak masak terpakai bagi setiap bazar setiap hari di sepanjang bulan Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vinesh Sinha berkata, sebelum ini syarikatnya mengumpul minyak dari restoran makanan segera atau kedai-kedai tetapi dalam bulan Ramadan, tumpuan di bazar kerana jumlah minyak yang boleh dikumpul adalah lebih tinggi.

“Kami beroperasi di banyak bazar di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak. Setakat ini, terdapat lebih daripada 120 pusat pengumpulan di Lembah Klang dan 160,000 tempat penyelenggaraan di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program FatHopes bersama EkoSetiawangsa di Tapak Pasar Malam, Setapak Jaya, di sini, hari ini.

Vinesh Sinha.

Vinesh menambah, sektor penerbangan merupakan antara paling sukar untuk mengurangkan pelepasan karbon kerana ia tidak mempunyai alternatif bahan api seperti sektor lain yang boleh menggunakan elektrifikasi atau hidrogen.

“Sektor penerbangan tidak mempunyai pilihan lain, oleh itu penggunaan minyak masak terpakai sebagai bahan api lestari adalah langkah terbaik untuk mengurangkan intensiti karbon,” tambahnya.

Turut hadir dalam program itu adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, minyak masak terpakai kini menjadi satu komoditi penting yang harus dikumpulkan dan digunakan semula bagi mengelakkan pencemaran serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan.

“Sebelum ini, minyak masak terpakai dibuang begitu sahaja dan menyebabkan pencemaran saliran air serta sungai. 

“Kini, ia boleh digunakan untuk menghasilkan bahan api penerbangan lestari (sustainable aviation fuel), yang akan menjadi keperluan wajib bagi syarikat penerbangan di peringkat antarabangsa dalam beberapa tahun akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast