Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menganggap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook telah mempolitikkan isu pendidikan nasional apabila dengan sengaja membina tembok pemisah di antara kaum dalam perkara berkenaan.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris mendakwa, Loke telah menafikan tanggungjawab nasional yang boleh menimbulkan persepsi bahawa pendidikan adalah mengikut kepentingan sesuatu kaum.

“Perkasa ingin menegaskan kepada DAP bahawa Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan bahasa kebangsaan dalam konteks kenyataan Anthony loke bahawa “urusan masyarakat Cina adalah urusan DAP” dan pendidikan Cina juga juga menjadi tanggungjawab parti DAP.

“…dan Anthony Loke seharusnya merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu perkara 152  yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“Walaupun perkara 152 membenarkan penggunaan dan pengajaran bahasa lain, Anthony Loke seharusnya sedar bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa utama yang tidak boleh di kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan sebuah laman portal yang memetik Loke sebagai berkata, “urusan masyarakat Cina adalah urusan DAP. Urusan pendidikan Cina juga adalah urusan DAP.”

Menerusi laporan berkenaan, Loke yang merupakan Menteri Pengangkutan didakwa berkata demikian ketika mengetuai Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang baharu dalam satu lawatan hormat ke Dong Jiao Zong di Kajang baru-baru ini.

Lawatan itu bertujuan mendengar pembentangan dua pertubuhan utama pendidikan Cina serta mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai cabaran serta hala tuju pembangunan pendidikan bahasa ibunda pada masa kini.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, pelbagai isu dibincangkan secara aktif antara mereka, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), kekurangan tenaga pengajar, sekolah kurang murid, pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), serta projek pembinaan Bangunan Pendidikan Cina.

Loke turut dilapor menyatakan mempertahankan pendidikan bahasa ibunda serta hak asasi dan demokrasi adalah nilai teras DAP di mana ia selaras perjuangan parti berkenaan sejak penubuhannya.

Dalam pada itu Irwan Fahmi menegaskan, Perkasa menyokong dasar sekolah satu aliran iaitu sekolah Kebangsaan di mana peranan sekolah itu ialah memperkukuhkan perpaduan antara kaum yang ada di Malaysia.

Katanya, kewujudan sekolah vernakular merupakan tembok pemisah dan mengasingkan pelajar mengikut kaum sejak peringkat awal persekolahan yang menyumbang kepada polarisasi Masyarakat.

Jelas beliau, sekiranya setiap kaum mengamalkan bahasa ibunda masing-masing ianya boleh melemahkan semangat Kebangsaan dan menyebabkan jurang sosial semakin melebar.

“Perkasa juga ingin menasihatkan Anthony Loke iaitu sebarang usaha memperkukuhkan sistem pendidikan yang berteraskan bahasa ibunda tanpa mengutamakan bahasa kebangsaan boleh melemahkan dasar kebangsaan yang bertujuan untuk menyatukan rakyat majmuk di negara ini.

“Malah kenyataan Anthony Loke yang mendakwa ini adalah urusan DAP juga boleh mencetuskan perdebatan kerana pendidikan seharusnya tanggungjawab nasional dan bukannya tertakluk kepada mana-mana parti politik di negara ini.

“Perkasa ingin bertanya, apakah DAP ini sebuah parti yang hanya memperjuangkan bangsa Cina?

“Bagaimana dengan kaum-kaum lain yang ada di dalam DAP,” ujarnya.

Dalam pada itu, Irwan turut mendakwa, Perlembagaan DAP jelas menyatakan mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sekular dan mahu menyamakan agama Islam dengan agama-agama lain di dalam negara ini.

Katanya, perkara itu jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

“Perkasa menggesa kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan sekolah Kebangsaan sebagai pilihan utama untuk semua kaum bagi mengukuhkan perpaduan nasional,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here