Terowong ECRL Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kejayaan penembusan dan menjadikan terowong ECRL yang ke 36 telah selesai bagi kerja pengorekan ketika di Kampung Batu 12 Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merentasi 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 79.95% setakat Februari lalu.

Kini, pemasangan sistem di sepanjang jajaran sedang giat dijalankan, menandakan peralihan penting daripada kerja-kerja bawah tanah kepada pembinaan berskala besar di atas tanah pada tahun ini.

Fasa kritikal ini akan mempercepatkan kemajuan ke arah penyempurnaan projek menjelang 2027, kata China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL.

Menurutnya, sepanjang tempoh ini, CCC-ECRL telah membentuk kerjasama erat dengan lebih daripada 2,000 subkontraktor, pembekal, dan perunding di seluruh Malaysia, menyumbang kepada kejayaan pembangunan infrastruktur mercu tanda ini.

Berikutan itu, CCC-ECRL telah menganugerahkan 18 vendor tempatan, termasuk perunding dan subkontraktor, dengan Anugerah Kecemerlangan 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang mereka dalam projek ini.

Anugerah Kecemerlangan yang sudah memasuki tahun kelima penganjurannya terus menekankan peranan penting yang dimainkan oleh pihak industri tempatan dalam menyokong pembangunan ECRL.

Penerima anugerah tahun ini telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam pelbagai bidang utama, termasuk dalam bidang Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), jaminan kualiti, pelaksanaan projek serta pengurusan sumber yang cekap.

Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi berkata, kejayaan projek ECRL adalah hasil daripada komitmen teguh rakan kongsi tempatan dan kepakaran, ketahanan dan pematuhan mereka terhadap piawaian industri yang tinggi telah menjadi pemacu utama kemajuan projek ini.

“Anugerah ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka, tetapi juga sebagai bukti kukuh kepada perkongsian erat yang telah kita bina dalam merealisasikan projek infrastruktur nasional ini,” katanya.

Tambah beliau, CCC-ECRL kekal komited dalam membina perkongsian kukuh dengan vendor tempatan Malaysia, memacu pertumbuhan industri tempatan, serta memastikan kejayaan pelaksanaan projek ECRL.

Melalui kerjasama ini, syarikat terus mencipta peluang ekonomi di rantau Pantai Timur sambal memperkukuh infrastruktur rel negara untuk masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast