KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menafikan laporan berlaku gangguan operasi penerbangan dan terdapat penumpang yang terkandas susulan serangan siber di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Shukreen Ma berkata, pihaknya sebaliknya terus memberi tumpuan dalam memastikan operasi di KLIA berjalan dengan lancar.
“Operasi di KLIA berjalan lancar tanpa sebarang gangguan penerbangan, dan tiada penumpang yang terkandas di lapangan terbang.
“Kami terus memberi tumpuan untuk memastikan operasi di KLIA berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, sebuah media berbahasa Inggeris hari ini melaporkan serangan siber yang menyasarkan KLIA dan mengakibatkan gangguan selama lebih 10 jam pada Ahad lepas telah menjejaskan operasi penerbangan dengan ribuan penumpang terkandas.
Laporan yang memetik sumber itu mendakwa, serangan tersebut menyebabkan pelbagai masalah termasuk pengendalian bagasi yang tidak dapat berfungsi hingga memaksa kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan beralih kepada operasi manual.
Gangguan itu juga dikatakan turut memberi kesan kepada jadual penerbangan dengan banyak kelewatan dilaporkan sepanjang hari.
Situasi itu sekali gus bercanggah dengan kenyataan awal MAHB dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan MAHB yang sebelumnya menyebut insiden tersebut tidak menjejaskan operasi di lapangan terbang tersebut.
Serangan siber ke atas sistem digital MAHB turut didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan penggodam turut menuntut bayaran sebanyak AS$10 juta.
Bagaimanapun, kata Anwar, kerajaan tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). – MalaysiaGazette