Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Foto Facebook Malaysia NT.

KUALA LUMPUR –  Harimau Malaya bukan setakat meraih tiga mata pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal malam tadi namun menerima kejutan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Ini selepas pemilik Johor Darul Ta’azim itu menyampaikan duit raya kepada mereka termasuk barisan kejurulatihan dan semua staf sokongan.

Perkembangan itu dapat disaksikan menerusi satu kemas kini di laman rasmi pasukan kebangsaan, Malaysia NT.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat memberikan sokongan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam di Johor kelmarin.

“Baginda turut berkenan memberikan kurniaan duit raya kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua staf sokongan. Menjunjung kasih, Tuanku,” kata laman terbabit.

Malam tadi, era baharu skuad Harimau Malaya mula memberi hasil positif apabila menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Revolusi dicetuskan Tunku Mahkota Ismail dengan menampilkan barisan kejurulatihan baharu dan pemain warisan dari Sepanyol, Hector Hevel yang meraih kap pertamanya berjaya membawa nafas baharu dalam corak permainan pasukan negara.

Malah, Hevel yang kini beraksi untuk kelab Portugal, Portimonense SC turut meledak gol sulungnya bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Malaysia mendapat gol kedua hasil pada minit ke-70 apabila La’Vere Corbin Ong mudah menolak masuk hantaran Arif Aiman yang bergerak solo dengan menyusup masuk ke kotak penalti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here