SHAH ALAM, 25 MAC 2025 –Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sekali lagi meneruskan tradisi setiap kali Ramadan dengan menyantuni kakitangannya yang kurang berkemampuan menerusi program Bakul Syawal.
Tradisi itu diteruskan lagi tahun ini dengan memberikan sumbangan Bakul Syawal kepada 300 kakitangan dengan mengambil kira beberapa kriteria termasuk pendapatan dan tanggungan keluarga kakitangan.
Naib Canselor, Prof. Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Shahib@Sahibuddin berkata, inisiatif sumbangan Bakul Syawal yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu membuktikan kebersamaan dan keprihatinan UiTM terhadap warganya.
“Syukur Alhamdulillah, kita dapat laksanakan iaitu program Khatam al-Quran dan Bakul Syawal kepada kira-kira 300 kakitangan UiTM Shah Alam yang berkelayakan dalam kalangan kategori B40, malah kita lihat bukan sahaja pendapatan, tetapi komposisi keluarga kakitangan itu.
“Ini adalah antara inisiatif Masjid UiTM Shah Alam bersama kerana kita melihat keperluan ini dapat dilaksanakan di bulan Ramadan yang mulia ini.
“Segala sumbangan ini dilaksanakan melalui Tabung Amanah Pusat Islam (TAPI) yang mana kita dapat panjangkan terus sumbangan ini kepada kakitangan berkelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan persamian Majlis Khatam al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Bakul Syawal di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal
Abidin UiTM Shah Alam, pagi tadi.
Shahrin berkata, sumbangan Bakul Syawal berbentuk makanan asas antaranya minyak masak, bihun, garam, gula, tepung gandum, ketupat mini, susu tin, teh dan beras 5 kilogram.
Mengulas mengenai program Khatam al-Quran pula katanya, program itu dilaksanakan melalui program tadarus Al-Quran di peringkat bahagian dan jabatan kakitangan masing-masing.
Majlis Khatam al-Quran disertai kira-kira 200 peserta yang mewakili Bahagian masing dalam program tadarus al-Quran yang diadakan sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Terdahulu, Masjid UiTM turut menyertai World Quran Hour bertemakan #SavingTheUmmah dengan berpandukan Surah al-Saff (Barisan) yang menekankan kepentingan kesatuan ummah dalam memperjuangkan agama Allah. – MalaysiaGazette