KUALA LUMPUR – Seorang warga emas didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membuat pernyataan palsu bagi pendaftaran kelahiran dua anaknya dan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Majistret Amira Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur berusia 62 tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama 17 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan membuat pernyataan palsu semasa permohonan pendaftaran kelahiran dua kanak-kanak berkenaan menggunakan borang daftar kelahiran JPN di kaunter JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kepong pada pukul 2.13 petang, 10 April 2009, dan pukul 3.43 petang, 4 Ogos 2010.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan kali pertama bagi seorang daripada dua anaknya, yang berusia 12 tahun, menggunakan borang permohonan kad pengenalan di kaunter JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pukul 8.57 pagi, 29 Mac 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959, yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, pengadu (JPN) telah menahan lelaki itu kerana disyaki membuat pernyataan palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran dua kanak-kanak berkenaan.
Hasil siasatan mendapati bahawa dua kanak-kanak itu bukan anak kandung kepada isteri tertuduh berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Nurraudhah Adilah Bahadun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Ku Mohd Fauzul Azim Ku Zaharul’ Aiz yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan dan menanggung keluarga.
“Anak guam saya tidak bekerja dan mempunyai isteri serta tiga anak yang masing-masing berusia antara 12 hingga 15 tahun. Selain itu, dia perlu menjaga ibunya yang berusia 87 tahun dan lumpuh,” kata peguam itu. – BERNAMA