KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.77 juta kenderaan sehari menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak sebanyak 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS; Lebuhraya KL-Karak (216,000); Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (156,000); Pantai Timur Fasa 2 (70,000) dan Lebuhraya Persisran Pantai Barat (174,000) pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.
Tambahnya, pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota dijangka menunjukkan peningkatan menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air bermula hari ini dengan mengambil kira cuti sekolah tambahan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2 hingga 4 April ini.
Sementara itu, ujarnya, aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan bermula 5 dan 6 April ini.
Sehubungan itu, tambah beliau, dalam usaha mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, LLM telah mengambil beberapa langkah.
“Antaranya memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula 24 Mac lalu hingga 7 April ini dan mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 28 lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS.
“(Selain itu), mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya utama untuk memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, LLM juga mengingatkan syarikat konsesi lebuh raya agar sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan terbaik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di Kawasan Rehat & Rawat (RnR) serta hentian sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.
Dalam masa sama, ujar beliau, LLM juga menyediakan kemudahan tambahan parkir dan tandas sementara dari jenis mudah alih dan kabin untuk menampung keperluan pengguna semasa musim perayaan ini, serta meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air.
Kata beliau, sekiranya keadaan di lokasi sesak, para pengguna digalakkan untuk meneruskan perjalanan dan singgah di kawasan RnR, hentian sebelah atau plaza tol seterusnya.
“LLM juga memastikan bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi dengan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan penguna lebuh raya,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan sempena perayaan Aidilfitri pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April dijangka sedikit sebanyak membantu kepada aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama sebagaimana yang diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan. – MalaysiaGazette