KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat kes kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak pada Isnin lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu perlu dalam memastikan perkara seperti itu tidak berulang.
Beliau menegaskan, ATM telus dalam hal itu dan tidak akan bekompromi dalam hal-hal sedemikian.
“Kita percaya bahawa adalah wajar untuk kita lakukan siasatan sehingga habis, maka barulah apa-apa maklumat kita akan beritahu.
“Kita tak beri sekerat-sekerat, macam itu nanti akan timbul salah faham, keliru dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, dipercayai akibat kerosakan pada jantung susulan hentakan kuat yang dialami pada dada.
Jenazah telah dibawa ke Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Islamiah, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta agar insiden tersebut tidak dikaitkan dengan beberapa insiden yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Katanya, setiap tahun ATM merekrut seramai 5,000 orang dan apa yang terjadi merupakan insiden terpencil dan jarang sekali berlaku dalam pasukan.
“Jangan dicantumkan dengan apa yang berlaku di UPNM dengan yang ini. Ini adalah satu insiden yang jarang-jarang berlaku, kita tak pernah dengar.
“Jadi sebab tu kita nak kaji secara mendalam apa sebenarnya… tak boleh nak kata ada dera dan sebagainya sebab tengah siasat. Jadi, don’t jump the conclusion,” ujarnya.
Menurut Mohamed Khaled, sekiranya hasil siasatan yang dilakukan oleh polis telah pun diketahui, barulah langkah seterusnya akan diambil oleh ATM.
Tambahnya, ketika ini ATM tidak membuat siasatan mengenai perkara itu kerana dibimbangi akan mengganggu siasatan yang sedang dilakukan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette