PONTIAN – Mangsa banjir Kampung Parit Hassan di Benut di sini berharap banjir tidak berlaku terutama menjelang atau semasa Hari Raya Aidilfitri kerana mereka baharu sahaja pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).
Faridah Salada, 48, berkata, keadaan cuaca tidak yang menentu ketika ini amat membimbangkan ditambah lagi dengan banjir ‘termenung’ masih belum surut sepenuhnya walaupun sudah hampir seminggu.
Katanya, selepas empat hari berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinaran Tampok di sini, akhirnya dia bersama-sama empat anak dapat kembali ke rumah.
“Keutamaan sekarang adalah membersihkan rumah dan menggantikan barangan asas yang rosak berbanding persiapan hari raya.
“Suasana Aidilfitri kali ini amat berbeza kerana baju raya yang dibeli sebelum ini rosak akibat banjir. Ramadan tahun ini juga kami sekeluarga melalui pengalaman berbuka dan bersahur di PPS.
“Saya harap banjir tidak berulang dalam masa terdekat kerana kebanyakan daripada penduduk masih lagi terkesan dengan banjir pada minggu lalu,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Zaleha Tani, 70, berkata, rumahnya di Kampung Sungai Besar mula dinaiki air pada petang Ahad lalu dan diminta berpindah segera ke PPS.
“Rumah dinaiki air paras 0.5 meter selepas rumah lebat pada petang Ahad. Kali ini banjir yang berlaku agak teruk kerana air banjir lambat surut.
“Akhirnya selepas empat hari di PPS, kami dibenarkan pulang dan sekarang cuma fikirkan untuk bersihkan rumah bersama-sama anak dan cucu. Mengenai persiapan Aidilfitri ia dilakukan sederhana sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, fenomena air banjir termenung yang berlaku di beberapa kawasan di Benut memerlukan penyelesaian jangka panjang menerusi projek tebatan banjir.
Jelas beliau, projek tebatan banjir diperlukan bagi mempercepatkan aliran air banjir terus ke sungai atau sistem saliran lain.
“Banjir termenung juga boleh dikaitkan dengan perubahan cuaca yang menyebabkan pemanasan global serta taburan hujan yang tinggi seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Dalam kes yang berlaku di Benut ini, cadangan pertama adalah dengan melaksanakan PTB, selain meningkatkan serta menambah baik infrastruktur sedia ada dan menggantikan peralatan yang usang,” katanya.
Sebelum itu, seramai 184 ketua isi rumah di DUN Benut menerima wang tunai RM3,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM444,000 yang disampaikan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) di Benut. – MalaysiaGazette