KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersetuju dengan cadangan supaya masjid dan kuil dibina bersebelahan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr. Maza turut mengambil contoh insiden ketegangan yang berlaku di Kampung Rawa, Pulau Pinang yang berpunca daripada sebuah kuil yang dibina bersebelahan masjid.
“Dahulu, ketegangan Kampung Rawa berpunca dari kuil yang dibina bersebelahan masjid sehingga mencetuskan kekacauan dan pergaduhan antara agama.
“Jangan cuba cadangkan satu penyelesaian yang bakal membawa ketegangan bahkan kemusnahan yang tidak akan berkesudahan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Pada Mac 1998, insiden pergaduhan tercetus antara satu kumpulan dari sebuah masjid dan satu kumpulan dari kuil Hindu Raja-Raja Maduraiveeran yang terletak bersebelahan di Jalan Patani, Jelutong, Pulau Pinang.
Terdahulu, isu membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini, akhirnya selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat berkenaan dipindahkan ke lokasi baharu yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal.
Isu itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila pihak pengurusan kuil berkenaan enggan berpindah daripada tapak itu yang kini menjadi milik Kumpulan Jakel (Jakel) yang merancang untuk membina sebuah masjid.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan majlis pecah tanah dan peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid MADANI di tanah wakaf milik Jakel itu hari ini. – MalaysiaGazette