KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Farid Alis dilantik sebagai Pengerusi baharu Bursa Malaysia berkuatkuasa 1 Mei ini.
Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank itu bakal menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan bersara 30 April ini setelah menyelesaikan perkhidmatannya selama lima tahun.
Tambahnya, pelantikan itu dibuat oleh Menteri Kewangan di bawah Seksyen 10(1)(a) dan (3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Bagi pihak Lembaga Pengarah, kami mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Farid atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi baharu Bursa Malaysia. Peranan beliau sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan Bursa Malaysia sebelum ini akan memastikan peralihan kepimpinan yang lancar.
“Bursa akan terus berkembang dan kukuh di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Farid Alias, yang berkongsi nilai-nilai teras yang sama dalam memacu pertumbuhan Bursa Malaysia yang berfokuskan tujuan. Ini akan memastikan komitmen Bursa Malaysia dalam mencipta peluang dan meningkatkan nilai untuk semua pihak berkepentingan diteruskan,” kata Abdul Wahid
Farid, 57, merupakan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Berhad (Maybank) dari 2013 hingga 2022.
Beliau ialah seorang Chartered Banker yang berpengalaman dengan 30 tahun kerjaya dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, khususnya dalam perbankan pelaburan, perbankan komersial, dan pasaran modal.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah memegang pelbagai jawatan dalam institusi kewangan seperti Aseambankers Malaysia Berhad (kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Berhad), Schroders Malaysia (L) Ltd, Malaysian International Merchant Bankers Berhad, dan JP Morgan di Malaysia serta Singapura.
Selain itu, beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jawatan lembaga pengarah syarikat di Malaysia dan antarabangsa, meliputi bidang audit, pengurusan risiko, teknologi dan keselamatan siber, serta jawatankuasa pencalonan dan imbuhan.
Beliau kini memegang jawatan pengarah di CapitaLand Investment Limited (Singapura) dan CelcomDigi Berhad, serta berkhidmat sebagai Ahli Majlis di Asian Institute of Chartered Bankers.
Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pelawat di Smeal College of Business, Pennsylvania State University.
Dari segi akademik, Tan Sri Farid memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam bidang Kewangan dari University of Denver, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perakaunan dari Pennsylvania State University.
Beliau juga telah menyelesaikan Program Pengurusan Lanjutan dari Harvard Business School.
Dalam pada itu, Farid dalam kenyataan yang sama berkata, Bursa Malaysia berada di satu titik penting dengan potensi inovasi yang besar sebagai bursa pelbagai aset untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pemegang kepentingan.
Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan Bursa bagi memajukan organisasi ini demi kepentingan semua pihak berkepentingan dan negara,” katanya. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast