KUALA LUMPUR – Datuk Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bermula semalam.
Perkara tersebut diumumkan menerusi Instagram rasmi agensi berkenaan.
“Setinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Datuk Gerald Hans Isaac di atas pelantikan sebagai Pengerusi Finas berkuatkuasa 26 Mac 2025,” menurut kenyataan berkenaan.
Pelantikan tersebut dibuat selepas Pengerusi terdahulu iaitu Datuk Kamil Othman menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari lalu.
Ini merupakan kali kedua Hans atau Gerald Hans Isaac, 54, memegang jawatan berkenaan.
Hans sebelum ini pernah menjadi pengerusi Finas pada April 2019 hingga Mei 2020.
Pelakon itu kemudiannya memegang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi sesi 2023/25.
Hans mula aktif sebagai pelakon sekitar tahun 1995 dan namanya dikenali menerusi filem Ringgit Kasorrga. – MalaysiaGazette