KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi penjelasan sebab isu pertikaian tapak Kuil Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur tidak dibawa ke mahkamah, hari ini.
Katanya, pembinaan Masjid Madani mungkin mengambil masa yang lebih lama sekiranya ia diselesaikan menerusi kaedah perundangan.
“Jika isu ini boleh diselesaikan melalui kaedah perundangan, tidakkah sepatutnya ia diselesaikan sejak dulu lagi? Tidak perlu mengambil masa sehingga berbelas tahun untuk dileraikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah beliau, penilaian isu itu dibuat menerusi lensa fiqh al-awlawiyat yang memberi keutamaan kepada maslahat umat Islam untuk memiliki masjid sebagai pusat ibadah dan komuniti, menjaga keharmonian masyarakat majmuk dan memastikan imej Islam itu terus terpelihara sebagai agama rahmah dan keadilan.
“Apa jua keputusan yang diambil, semuanya telah melalui proses rundingan dan penelitian yang teliti. Nasihat keselamatan telah diterima, nasihat perundangan telah dipertimbang dan akhirnya pandangan agama menjadi neraca.
“Seperti yang ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, dalam kemelut ini beliau tetap konsisten bahawa perlu ada sesi rundingan dan sifat tolak ansur.
“Namun, prinsipnya tetap tegas, iaitu Masjid ini wajib didirikan di kawasan ini, demi menghormati wasiat wakaf, hak ibadah umat Islam dan tuntutan maqasid dalam memelihara agama,” katanya lagi.
Menurut Zaliha, penyelesaian yang dicapai dalam isu itu adalah satu detik bersejarah yang melambangkan kemenangan hikmah, kesabaran dan prinsip keutamaan dalam menyelesaikan sebuah pertikaian yang sensitif. -MalaysiaGazette