KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Selangor menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Amirudin Shari untuk kekal sebagai Naib Presiden PKR pada pemilihan Mei ini.
Setiausahanya, Dr. Mohd Khairudin Othman berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPN Selangor hari ini berdasarkan rekod kepimpinan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor dan peranannya membantu pentadbiran parti.
“Amirudin bukan sahaja menunjukkan kepimpinan cemerlang di Selangor tetapi juga memainkan peranan penting di peringkat pusat, termasuk dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang sebagai Pengerusi MPN Pahang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Mohd Khairudin, Selangor dijangka menjadi negeri dengan kuasa pemilih terbesar pada pemilihan kali ini, sekali gus berperanan besar dalam menentukan kepimpinan parti di peringkat pusat.
Dalam mesyuarat yang sama, MPN Selangor turut memutuskan untuk menghantar jentera bagi membantu calon Perpaduan di DUN N.48 Ayer Kuning bermula 7 April ini.
“MPN Selangor juga akan terus memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kejayaan kerajaan negeri, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pentadbiran serta inisiatif Gudang Makanan Selangor yang mampu menyimpan stok makanan sehingga tiga bulan sebagai persediaan menghadapi krisis masa hadapan,” tambahnya. -MalaysiaGazeette