Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan agar semua umat Islam di Selangor hendaklah  mengikut  ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, MAIS akan memperkasa program pendidikan dan dakwah kepada semua lapisan masyarakat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi Islam lain di Negeri Selangor.

Katanya, ini bagi memastikan kefahaman Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dapat dipertahankan serta diamalkan oleh seluruh umat Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin

“MAIS juga akan memastikan apa-apa dasar dan polisi berkaitan dengan hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor ditambah baik dengan mengukuhkan kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah sama ada melalui pindaan undang-undang mahupun secara pentadbiran selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada titah Sultan Selangor semasa perasmian Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah di Denai Alam, semalam.

Dalam pada itu, MAIS juga menurut beliau, turut mengambil serius titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengenai ancaman ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Sehubungan itu, kerjasama erat antara MAIS dengan JAIS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain akan dipertingkatkan.

Bagi tujuan itu, laporan penguatkuasaan secara berkala akan dibuat melalui jawatankuasa MAIS bagi memastikan penguatkuasaan terhadap ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan efektif. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here