KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi menyelesaikan hutang sedia ada.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjelaskan, pembiayaan RM200,000 sebulan bagi melangsaikan baki hutang lama kelab berkenaan yang masih disumbangkan kerajaan negeri dan KFA hingga kini.
“Saya menanggung hutang berkenaan pasukan RM200,000 yang masih dibayar setiap bulan hingga kini. Jadi jangan kata saya atau KFA tak tolong dan sebenarnya kita juga tolong.
“Masa mula ambil pasukan dulu kita terpaksa tanggung hutang RM16 juta dan pada ketika itu kita ada empat bulan tunggakan gaji.
“Selepas itu, sampai pula tuntutan daripada badan berkanun dan ditambah lagi komitmen pada musim selepas itu dan jika dicampur semua itu sudah cecah RM30 juta dan jangan kata kita tak buat apa pada bola sepak,” katanya sidang media menerusi rakaman video di media sosial hari ini.
Jumlah baki hutang yang dihadapi oleh pasukan ketika ini adalah baki dari hutang RM30 juta daripada pengurusan lama termasuk tuntutan RM1.9 juta daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pemain import sebelum ini antaranya Liridon Krasniqi.
Sebelum ini, barisan pemain dan pegawai pasukan menerima sumbangan RM200,000 menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel kelmarin. – MalaysiaGaazette