KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng mencadangkan supaya masyarakat Cina di Sarawak diberikan status Bumiputera.
Ini kerana, kata Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu, ramai dalam kalangan mereka mempunyai salasilah keluarga di Sarawak yang menjangkau lebih 150 tahun.
Menurutnya, sebilangan besar daripada mereka juga lahir di Sarawak dan telah berkhidmat, berjuang, berkorban serta menyumbang secara besar-besaran kepada kesejahteraan ekonomi negeri itu.
“Memandangkan keunikan komposisi kaum, kepelbagaian agama dan autonomi tertentu di Sarawak sebagai sebuah wilayah dan bukan sekadar sebuah negeri, mungkin para pemimpin negeri harus mempertimbangkan untuk memberikan status Bumiputera kepada rakyat Sarawak berketurunan Cina,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sementara itu, Larry turut membuat perbandingan dengan warga Syria yang berhijrah ke Sarawak dan menjadi Melanau dalam sekelip mata, sebelum akhirnya berpindah setelah mengaut kekayaan.
“Kita tahu bahawa masyarakat Cina tetap setia menetap di Sarawak untuk jangka panjang.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan perkara ini dan menggubalnya menjadi undang-undang demi kebaikan negeri dan seluruh rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette