Kumar menunjukkan tiga pucuk pistol yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Motif dendam antara dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca kejadian menembak seorang lelaki hingga mati di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, di sini, pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun dipercayai ahli kongsi gelap mati ditembak pada jarak dekat dengan empat das tembakan.

“Susulan itu satu pasukan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bukit Aman ditubuhkan untuk mengesan dan menangkap penjenayah terbabit.

“Hasil maklumat dan risikan yang dijalankan bermula 8 Januari hingga 17 Mac lalu, pasukan terbabit melakukan beberapa siri serbuan serta tangkapan di lokasi berasingan sekitar Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor menembak mati seorang lelaki berusia 64 tahun dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek di sini pukul 3.10 pagi, pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, dalam insiden itu, penjenayah terbabit telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis ketika serbuan menyebabkan pihak polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

“Sepucuk pistol jenis Smith & Wesson, empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru telah ditemui atas jalan berdekatan dengan lokasi penjenayah,” katanya.

Seterusnya pada hari sama, Kumar berkata, pihaknya menangkap enam suspek tempatan berusia 48 hingga 66 tahun bagi membantu siasatan di sebuah rumah di Jalan Ah Siang, di sini, antara pukul 5 hingga 6 pagi.

Pihaknya merampas satu paket lutsinar dan tiga keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis heroin, satu keratan aluminum disyaki alat menghisap dadah, satu alat penimbang digital dan sepucuk pistol angin jenama Austria warna hitam.

Selanjutnya kata beliau, pasukan khas terbabit menangkap tiga lelaki tempatan berusia 36 hingga 62 tahun di Jalan Bukit Meldrum di sini pukul 9.45 pagi sehingga 1 petang, pada 17 Mac lalu.

“Pihak polis merampas sepucuk pistol semi auto jenis Sig Sauer model P228, satu kelopak peluru dalam perumah pistol yang mengandungi enam butir peluru jenis PMC 9MM Luger dan satu kelopak peluru mengandungi sembilan butir peluru jenis PMC 9MM Luger.

“Hasil siasatan mendapati kelongsong dan anak peluru yang ditemui pada mangsa bunuh di Taman Setia Indah pada Januari lalu telah ditembak menggunakan pistol sama daripada salah satu senjata yang dirampas dalam operasi ini,” ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sembilan lelaki ditangkap, tiga pucuk senjata api dan 19 butir peluru hidup berjaya dirampas dalam operasi khas berkenaan.

Tambah beliau, dua pistol berkenaan adalah asli manakala pistol angin terbabit adalah tiruan dan pihak polis percaya kumpulan tersebut memperolehnya dari negara luar.

Semua suspek yang ditahan katanya, mempunyai pelbagai rekod dadah dan jenayah, direman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 30 Mac ini.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), Seksyen 8(a) Akta Senjata Api, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Walaupun kertas siasatan sudah dilengkapkan, kemungkinan akan ada tangkapan susulan melibatkan satu atau dua lagi suspek dalam masa terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here