KUALA LUMPUR – Pemuda MCA tiada halangan untuk mana-mana ahli parti itu menyertai politik lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, tindakan melompat parti itu adalah hak demokrasi setiap individu, sekali gus tidak ada apa-apa yang perlu disensasikan.
Jelas beliau, MCA bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah pergerakan yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, khususnya dalam memperjuangkan keharmonian kaum, pendidikan berkualiti, dan ekonomi inklusif.
Sehubungan itu, tambahnya, walaupun ada ahli parti tersebut yang memilih jalan lain, namun beliau tetap yakin dengan ahli-ahli setia yang masih komited dengan perjuangan MCA.
“MCA perlu terus mendekati akar umbi dan mendengar aspirasi rakyat, selain perlu berani membuat perubahan demi masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon membuat keputusan keluar parti itu serta-merta dan menyertai sayap Bersekutu Bersatu.
Borang penyertaan Kim Soon yang juga bekas Ketua Pemuda MCA Pahang itu bersama-sama 100 lagi kaum Cina dan India diserahkan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu majlis di Bentong, Pahang baru-baru ini.
Sementara itu, Choo Seong berkata, sebagai barisan pelapis, Pemuda MCA sedang berusaha ke arah melakukan transformasi menyeluruh yang merangkumi kepimpinan muda, pendekatan digital dan dasar progresif.
Sehubungan itu, tambahnya, MCA sentiasa membuka pintu kepada mana-mana individu yang ingin menyertai perjuangan politik yang bermakna.
“Kami mengalu-alukan pemimpin muda, profesional dan aktivis komuniti yang ingin membawa perubahan nyata, bukan sekadar retorik.
“Saya juga ingin menyeru kepada ahli-ahli MCA supaya kukuhkan kesepakatan, terus bersuara demi rakyat dan negara, demi masa depan yang lebih cerah!” katanya. – MalaysiaGazette