KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap segala bantuan, pemberian dan inisiatif yang diumumkan Kerajaan MADANI sepanjang Ramadan ini dapat membantu orang ramai membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih bermakna.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata usaha berkenaan selaras dengan teras MADANI dalam memberikan kesejahteraan buat rakyat.
Beliau berkata kerajaan telah mengumumkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua berjumlah RM1.7 bilion melibatkan hampir sembilan juta penerima dengan pembayaran disalurkan mulai Isnin lepas.
Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 untuk penjawat awam Gred 15 ke bawah pula disalurkan hari ini selain pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen menerima RM250.
“Kerajaan MADANI turut memperluas BKKA kepada lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut yang menerima RM250 bagi menghargai khidmat bakti mereka,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Bagi meringankan kos perjalanan rakyat yang akan pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kerajaan juga mengumumkan diskaun tol 50 peratus untuk pengguna lebuh raya bermula 12.01 tengah malam ini hingga 11.59 malam Sabtu (29 Mac).
Semalam, Kementerian Komunikasi pula mengumumkan Insentif Rebat Rahmah iaitu pemberian tambahan kuota data Internet minimum 5 gigabait secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan prabayar dan pascabayar pada hari pertama Aidilfitri. – BERNAMA