Model Masjid Madani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pecah Tanah Masjid Madani di atas tanah wakaf milik syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) bersebelahn tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, di sini, hari ini.

Perasmian itu menepati kenyataan Perdana Menteri sebelum ini bahawa keperluan membina rumah ibadat umat Islam itu bagi menampung kapasiti masjid dan surau sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.

Pembinaan masjid itu dijangka mengambil masa dua tahun dan dibina di tapak seluas 1,128 meter persegi sekaligus menjadi satu lagi mercu tanda pembangunan syiar Islam di ibu kota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat replika masjid selepas Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MAC 2025.

Selepas siap, Masjid Madani mampu menampung sehingga kira-kira 2,900 jemaah pada satu-satu masa termasuk 592 jemaah di ruang utama solat yang terletak tingkat satu.

Berkonsepkan intipati Malaysia, Masjid Madani yang setinggi empat tingkat akan dilengkapi ruang solat, dewan acara, pejabat dan kemudahan asas lain.

Ketika ini, kesesakan jemaah berlaku di Masjid india dan Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada setiap Jumaat dan musim perayaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pembinaan masjid berkenaan dibuat atas hasrat Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad dan mengambil kira keperluan masyarakat setempat yang menghadapi masalah kesesakan teruk di masjid berhampiran terutama sekali ketika hari Jumaat dan musim perayaan.

“Kewujudan masjid ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada umat Islam di kawasan sekitar tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan masyarakat dengan menyediakan kemudahan tempat ibadah yang selesa dan teratur,” katanya yang berucap majlis itu. – ⁠MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast