Logo polis

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket penipuan yang menyasarkan pengguna platform e-dagang bagi memperdaya mangsa.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), DCP Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sindiket itu mengubah suai poster promosi ‘Ramadan Bersama Shopee’ dengan meletakkan nombor telefon mangsa sebagai pemenang dalam satu peraduan yang diadakan.

Kata beliau, mangsa kemudiannya akan dihubungi dan diarahkan mengaktifkan perkhidmatan ‘ShopeePayLater’ untuk menebus hadiah kemenangan.

“Setelah diaktifkan, mangsa akan menerima satu kod QR yang perlu diimbas dan tanpa disedari, wang dalam akaun bank mereka mula berkurangan selepas imbasan dibuat.

“Setakat ini, satu laporan polis telah diterima di Selangor membabitkan kerugian sebanyak RM3,006.03,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.

Sementara itu, Rohaimi berkata, terdapat peningkatan ketara kes penipuan pembelian dalam talian sejak awal tahun ini.

Setakat ini katanya, sebanyak 2,328 kes dilaporkan antara 1 Januari hingga 24 Mac lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM19.6 juta.

“Angka ini menunjukkan peningkatan 36.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, di mana 1,700 kes dicatatkan dengan kerugian sebanyak RM13.6 juta,” ujarnya.

Mangsa akan dihubungi dan diarahkan mengaktifkan perkhidmatan ‘ShopeePayLater’ untuk menebus hadiah kemenangan.

Beliau menasihatkan masyarakat agar lebih berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian, selain mengelak daripada terpedaya dengan tawaran harga terlalu murah yang sering digunakan sebagai taktik sindiket penipuan.

Jelas beliau, adalah penting menyemak latar belakang penjual dan membuat semakan nombor akaun menerusi portal SemakMule sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber.

“PDRM akan terus memantau aktiviti penipuan dalam talian dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat bagi melindungi kepentingan pengguna,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast