KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM1.9 billion bagi pembelian 1,660 buah bas diesel dan elektrik baharu kepada Prasarana Malaysia Bhd.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembelian bas tersebut bagi kegunaan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, ia merangkumi pembelian sebanyak 310 buah bas diesel dan 240 bas elektrik (EV) manakala perolehan 1,100 lagi dibuat secara berperingkat.
“Ini bukan sahaja melibatkan penambahan untuk tujuan menggalakkan pengangkutan (penggunaan awam), tetapi juga
melibatkan perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa pihak berkuasa tempatan untuk menambah laluan bas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran sistem pembayaran terbuka untuk Rapid KL On-Demand (DRT) di Depo KL-Rapid di Cheras.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Hamzah berkata, selain itu Kementerian Kewangan turut menambah peruntukan sebanyak RM55 juta untuk memperluaskan DRT dengan tambahan 320 van menjelang Jun ini.
Jelasnya, langkah ini selaras dengan perluasan perkhidmatan pengangkutan itu ke 101 zon di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Kini sebanyak 110 van beroperasi di 37 zon bagi kedua-dua kawasan itu,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, Anthony mengumumkan pengenalan sistem pembayaran terbuka baharu khusus untuk perkhidmatan van DRT.
Ujarnya, semua van yang digunakan dilengkapi dengan peranti pengimbas bayaran kad debit atau kredit.
“Sistem pembayaran terbuka baharu ini akan diperkenalkan secara berperingkat bermula dengan tujuh zon,” tambahnya.
Sehubungan itu katanya, penumpang tidak perlu risau jika mempunyai baki yang tidak mencukupi dalam kad Touch ‘n Go.
Anthony berkata, kini pengguna boleh membayar dengan kad Touch ‘n Go, Kad Konsesi MyRapid, OKU Smile Travel Pass, dan Unlimited Travel Pass (My50, MyCity & Family Pass).-MalaysiaGazette