ISKANDAR PUTERI – Projek perintis pertanian moden Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan beroperasi sepenuhnya pada Jun ini bakal menerajui penghasilan produk agromakanan selamat di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, ia merupakan antara tumpuan JS-SEZ meliputi pembangunan dalam konteks memperkasa agenda keterjaminan makanan.
Jelas beliau, terutamanya menerusi pelaksanaan inisiatif-inisiatif berkaitan projek pertanian moden dan lestari.
“Alhamdulillah, saya berpeluang untuk meninjau progres pelaksanaan projek Smart Indoor Vertical Farm yang diusahakan secara kolaborasi strategik antara FarmByte Sdn Bhd (Anak Syarikat JCorp) dan Archisen Pte Ltd, sebuah syarikat peneraju agriteknologi dari Singapura.
“Dengan keluasan 52, 000 kaki persegi, projek pertanian menegak (vertical farm) ini disasarkan akan menghasilkan sehingga 300,000 kilogram setahun sayur-sayuran berdaun premium seperti Ice Plant, Japanese Tang Oh, Crystal Lettuce, Mustard Green, Red Vein Sorrel dan sebagainya.
“Dalam konteks ini, kerajaan negeri amat menyokong usaha kerjasama strategik sebegini yang mana akan memberikan peluang kepada pengusaha tempatan daripada segi aktiviti pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, penerapan elemen inovatif berteknologi tinggi itu adalah satu usaha ke arah memperkasakan amalan pertanian yang lebih mampan dan cekap dalam penghasilan produk agromakanan berkualiti tinggi di Johor.
“Semoga projek ini dapat dijayakan dan akan beroperasi sepenuhnya pada Jun 2025.
“JS-SEZ merupakan langkah strategik kepada pembangunan negeri ini menerusi pembukaan lebih meluas peluang perniagaan, galakan pelaburan berimpak tinggi dan pengukuhan ekonomi antara Johor dan Singapura,” ujarnya. – MalaysiaGazette