Presiden Persatuan Hartanah Bumiputera (PHB), Datuk Sri Dr Arifuddin Mohamed Shah pada Program Dialog MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dibimbangi mempunyai konflik kepentingan khususnya dijadikan alat untuk mengekalkan kuasa atau pengaruh politik parti tertentu di sesebuah kawasan.

Presiden Persatuan Hartanah Bumiputera (PHB), Datuk Seri Dr. Arifuddin Mohamed Shah berkata, ia khususnya melibatkan kawasan-kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan perbezaan majoriti undi yang kecil pada pilihan raya umum (PRU).

Beliau mengambil contoh keputusan di kerusi DUN Taman Medan pada PRU lalu yang menyaksikan kemenangan wakil rakyatnya hanya dengan perbezaan 30 undi.

“Kita bimbang jika RUU PSB ini akan memberi tumpuan kepada kawasan yang dimenangi atau dikalahkan dengan undi majoriti yang sedikit.

“Jadi, pembangunan semula dibuat di kawasan itu dengan menambah penduduk sekali gus memperkukuhkan kedudukan sesebuah parti di kawasan tersebut.

“Jika ini berlaku, ia tidak akan mencapai matlamat dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat kerana menyebabkan pembangunan yang tidak seimbang selain aktiviti ekonomi juga hanya berkembang di kawasan tertentu sahaja,” katanya.

Temubual bersama Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Datuk TPr Dr Alias Rameli dan Presiden Persatuan Hartanah Bumiputera (PHB), Datuk Sri Dr Arifuddin Mohamed Shah pada Program Dialog MG di Ibu Pejabat MalaysiaGazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 MAC 2025.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog MG bertajuk Akta PSB: Selaras atau Konflik Kepentingan bersama Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. Alias Rameli di ibu pejabat MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Arifuddin berkata, dengan tempoh masa yang berbaki sebelum RUU PSB ini dibentangkan dan diluluskan di Parlimen, beliau berharap kerajaan terbuka dalam mempertimbangkan beberapa cadangan pelbagai pihak ke arah penambahbaikan RUU tersebut.

Antaranya, kata beliau, dengan memastikan pembangunan semula bandar dilakukan dengan menerapkan elemen MADANI iaitu turut menawarkan rumah mampu milik berharga RM200,000 ke bawah.

Jelas beliau, ia penting bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana seperti kumpulan B40 turut berpeluang menikmati kualiti kehidupan lebih baik dalam pembangunan semula bandar di negara ini.

Dalam masa sama, beliau turut berharap kerajaan meneliti semula kuasa autonomi Menteri yang diberikan agak luas dalam mempengaruhi pelaksanaan akta itu yang dibimbangi mendorong kepada salah guna kuasa.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian juga adalah berkenaan kriteria kawasan yang sangat luas yang boleh melibatkan pekan-pekan besar di luar bandar dan kawasan kampung dengan penduduk yang ramai.

“Selain itu, pemilik asal juga perlu diberi ganti rumah yang lebih luas, selesa dan berbaloi dengan kesanggupan mereka menyerahkan kediaman lama untuk dibangunkan semula,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

RUU PSB tak ada kuasa usir mana-mana penduduk – Alias

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here