KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir rakyat mana-mana kaum dari sesebuah kawasan.
Sehubungan itu, kata Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr. Alias Rameli, RUU tersebut langsung tiada kaitan dengan usaha gentrifikasi.
Beliau memberikan contoh sekiranya terdapat 100 pemilik unit Bumiputera di sesebuah kawasan yang ingin dimajukan semula di bawah RUU PSB, pemilik unit itu akan mendapat semula rumah di kawasan terbabit selepas pembangunan semula.
“Malah jika kawasan itu tanah rizab Melayu, maka akan lebih banyak unit untuk orang Melayu dan bumiputera ditawarkan selepas pembangunan semula.
“Mungkin sebelum ini hanya terdapat 100 unit tetapi selepas pembangunan boleh ditambah menjadi 400 unit atau lebih, sebab kalau kuota untuk bumiputera maka ia akan kekal untuk bumiputera.
“Sebenarnya dalam proses pembangunan yang sedang berlaku di negara kita sekarang ini pun, proses gentrifikasi itu sudah berlaku, jadi tidak wajar untuk menjadikan RUU PSB ini sebagai kambing hitam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog MG bertajuk Akta PSB: Selaras atau Konflik Kepentingan bersama Presiden Persatuan Hartanah Bumiputera (PHB), Datuk Seri Dr. Arifuddin Mohamed Shah di ibu pejabat MalaysiaGazette hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Alias berkata, RUU PSB itu dilihat mekanisme terbaik untuk meremajakan semula bangunan lama, daif dan usang yang berusia lebih 30 tahun khususnya di kawasan-kawasan bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Ia, katanya, selepas akta dan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 dilihat gagal membangunkan kawasan bandar sedia ada.
Dalam masa sama, ujar beliau, akta itu juga walaupun menjadikan model pembangunann di kota-kota utama seluruh dunia sebagai rujukan namun masih menggunakan acuan dan konsep pembangunan masyarakat majmuk di negara ini.
“RUU PSB ini menjadi satu pilihan untuk kita menjadikan bandar-bandar lama di negara ini sebagai sebuah bandar matang dan sejahtera, sekali gus memastikan kehidupan berkualiti kepada masyarakatnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette