KUALA LUMPUR – Sebarang ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar perlu disuarakan melalui saluran yang betul dengan hujah berfakta dan bukan serangan peribadi.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan berkata, politik matang bukan tentang mencipta persepsi negatif, tetapi membina perbincangan rasional demi kepentingan rakyat.
Kata beliau, andai ada pihak yang tidak bersetuju, gunakan ruang perbincangan yang berlandaskan fakta, bukan dengan menabur fitnah.
Beliau mengkritik tindakan pihak tertentu yang menggantung kain rentang berunsur provokasi terhadap Ahmad Samsuri, menyifatkannya sebagai satu bentuk kempen tidak beretika yang hanya mencerminkan ketidakmampuan berhujah secara intelektual.
“Hakikatnya, kepimpinan Dr. Samsuri diakui ramai sebagai cemerlang. Tidak hairanlah namanya disebut sebagai calon Perdana Menteri ke-11. Rekod pencapaiannya dalam mentadbir negeri membuktikan kebijaksanaan dan ketokohannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, persaingan politik seharusnya berlandaskan prestasi dan idea yang lebih baik, bukan dengan taktik murahan seperti kain rentang penuh emosi tanpa asas kukuh.
Tegas beliau, Pas sebagai sebuah gerakan Islam tidak akan terlibat dalam perbuatan sebegini kerana perjuangan parti itu berlandaskan prinsip keadilan dan kebenaran.
“Jelas bahawa tindakan ini datang daripada pihak luar yang cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap kepimpinan negeri dan parti. Pas kekal teguh dan bersatu dalam perjuangannya,” katanya lagi.
Beliau menasihatkan pihak yang cuba menabur fitnah agar bermuhasabah sebelum cuba merosakkan keharmonian politik yang telah lama terbina. -MalaysiaGazette