Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam berhimpun selepas solat Jumaat di seluruh negara esok, sebagai tanda solidariti membebaskan Masjid al-Aqsa dan merdekakan Palestin.

Menurut beliau, usaha itu juga sebagai tanda kasih dan cinta umat Islam di negara ini kepada Islam dan saudara mereka di Palestin.

Tambahnya, situasi tegang yang melampau dalam dunia kini menjadi ujian kepada umat Islam, sama ada beristiqamah bersama Islam, atau mencabut Islamnya dengan mengadakan normalisasi bersama Zionis dan konco-konconya.

Menurut beliau, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membuat kenyataan terbuka untuk membantu Zionis melalui pembekalan segala bentuk persenjataan, termasuk senjata yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa kerana kesan pemusnahannya yang melampau.

Namun, ujar belliau, AS dan Eropah tanpa bermaruah melabel Palestin dan semua pihak yang membantu Palestin sebagai pengganas dan pelampau, sehinggakan menyerang Yaman kerana menyokong Palestin, mengancam Iran dan semua negara yang menentang Zionis.

“Adapun Zionis dan semua negara yang bersamanya berlagak menjadi pendamai dan pengaman.

“Mereka mengajak bersama negara Arab dan Islam menjadi pihak yang mendamaikan dengan berpihak kepada Israel dan memaksa pihak Palestin menyerah kalah.

“Pada masa yang sama, mereka membekalkan senjata yang bertali arus kepada Zionis dan ikut bersama mengerahkan bala tentera menyerang negara-negara yang membantu Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Hadi, Zionis dan sekutunya juga melancarkan serangan termasuk terhadap sasaran awam sehingga membunuh semua penduduk, bukan sahaja sasaran tentera.

Jelasnya, mereka juga melancarkan serangan ganas yang melampau tanpa sempadan kemanusiaan dan alam sekitar atas nama keamanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast