Kereta terbabas masuk curam di Putrajaya Link pagi tadi.

PUTRAJAYA – Seorang wanita mengalami kecederaan ringan selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam curam di Putrajaya Link, menghala ke Lebuhraya MEX, pagi ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.46 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya dikerahkan ke lokasi.

“Jentera pertama tiba pada jam 7.57 pagi, kira-kira 11 minit selepas menerima panggilan. Kemalangan membabitkan sebuah kereta Mitsubishi yang terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam curam setinggi 10 kaki.

“Mangsa, seorang wanita Melayu, didapati terperangkap di tempat duduk pemandu namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba bertugas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 36 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Cyberjaya menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Operasi menyelamat membabitkan lapan anggota serta dua jentera, masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan EMRS dari BBP Cyberjaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast