Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking.

KUALA LUMPUR – Parti Warisan mempersoalkan dana yang akan digunakan bagi sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 yang dilaporkan akan berlangsung selama tiga bulan.

Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking berkata, sambutan yang agak panjang itu tidak akan menimbulkan isu sekiranya menggunakan dana persendirian.

Namun, ujarnya, ia akan mencetuskan persoalan sekiranya sambutan itu menggunakan dana kerajaan negeri atau hasil cukai yang dikutip daripada rakyat.

Please La, jangan bah guna/use Taxpayers or Government Money for events yang terlampau lama. Bukan ka sudah ada satu hari perayaan dan cuti umum,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman akan diraikan pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam selaku pengerusi majlis sambutan itu berkata, perkara berkenaan selaras dengan warta kerajaan negeri berhubung penetapan tarikh baharu itu.

Berikutan itu, Joachim, sebanyak tujuh acara diatur bagi mengisi sambutan majlis berkenaan yang bermula Ahad ini hingga 21 Jun ini.

Menurut Darell, sebagai salah seorang pembayar cukai, beliau tidak ada halangan sekiranya dana kerajaan negeri digunakan untuk meraikan sambutan ulang tahun tersebut bagi tempoh sehari.

Namun, katanya, bagi sambutan selama tiga bulan, kos itu sekiranya menggunakan dana kerajaan negeri adalah lebih baik disalurkan kepada perkara lebih penting seperti biasiswa pendidikan, membaik pulih infrastruktur dan membangunkan lebih banyak kawasan di Sabah.

Malah, beliau secara peribadi turut berasakan Musa juga mungkin tidak bersetuju dengan cadangan sambutan ulang tahun selama tiga bulan itu, lebih-lebih jika ia menggunakan duit rakyat atau dana kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here