KUALA LUMPUR – Pemain beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin mengumumkan pertunangannya dengan bekas pemain badminton perseorangan Jepun, Aya Ohori.
Yew Sin berkongsi berita gembira tersebut menerusi hantaran di media sosial hari ini.
“Kami sangat gembira dapat berkongsi berita ini dengan dunia.
“Berbeza negara, berbeza budaya dan berbeza gaya hidup. (Namun), kami akan cuba mengadaptasi dan menerima gaya hidup satu sama lain dan memahami budaya masing-masing,” katanya.
Yew Sin yang merupakan pasangan regu Teo Ee Yi itu bagaimanapun menafikan tunangnya telah mengandung.
Ohori yang merupakan pemain badminton wanita perseorangan itu berada di kedudukan ketujuh dunia pada 17 Disember tahun lepas.
Beliau bersara pada usia 28 tahun selepas menamatkan pelawanan akhir BWF World Tour, Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette