JOHOR BAHRU – Hampir 2,000 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan bertugas sepanjang Op Selamat 24/2025 yang bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, ia melibatkan 251 pegawai dan 1,747 anggota meliputi semua elemen termasuk Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dengan 63 pegawai dan 508 anggota.
“Operasi kali ini memberi fokus kepada dua objektif utama iaitu meminimumkan kadar kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.
“Justeru, polis Johor akan menjalankan penguatkuasaan terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.
“Penguatkuasaan turut beri tumpuan kesalahan memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor sempena Op Selamat 24/2025 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Perling di sini hari ini.
Turut sama dalam program tersebut ialah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Selatan dan Projek Lebuhraya Usahasama (PLUS) Berhad.
Kumar berkata, dalam memastikan kelancaran lalu lintas, JSPT turut menjalankan OP Lancar yang bermula Ahad lalu.
Katanya, antara lokasi tumpuan adalah di dua laluan utama sempadan negara iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sukan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri.
“Pencegahan jenayah pecah rumah turut menjadi fokus utama PDRM Johor. Justeru, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan akan menggerakkan 404 anggota rondaan MPV dan 286 anggota rondaan URB.
“Dalam Op Selamat yang lalu, tiada sebarang kejadian jenayah direkodkan. Oleh itu, masyarakat diminta supaya meneruskan pelaporan pergerakan cuti kepada pihak polis sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette