Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman bercakap pada sidang media berkenaan Agihan Keutungan Tabung Haji di Menara Tabung Haji, Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Kadar bayaran dam dan penyertaan korban di Tanah Suci ditetapkan pada jumlah yang sama, iaitu sebanyak RM875 untuk seekor qibas bagi musim haji 1446H/2025M.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Hamadah Syed Othman memaklumkan, bakal jemaah haji bagi musim tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter pejabat cawangan TH seluruh negara sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Manakala katanya, penyertaan korban di Tanah Suci adalah terbuka kepada semua pendeposit TH.

“TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran dam buat bakal jemaah haji bagi musim haji tahun ini dan akan bermula hari Jumaat, 28 Mac 2025 sehingga 3 Julai 2025.

“Manakala, pembayaran penyertaan Qurban di Tanah Suci boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula dari 28 Mac 2025 sehingga 31 Mei 2025,” katanya.

Syed Hamadah berkata, tahun ini TH bekerjasama dengan The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) yang merupakan pembekal haiwan sembelihan yang diiktiraf Kerajaan Arab Saudi bagi urusan dam dan korban.

“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji TH, bakal haji yang melaksanakan ibadah haji Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran Dam pada kadar semasa sebelum tiba di Tanah Suci kerana lebih mudah,” tambah beliau.

TH turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran Dam dan Qurban yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here