Polis Diraja Malaysia (PDRM)

SERDANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang hilang dari kediaman ibu bapanya di sebuah apartment selamat ditemui orang awam di Serdang Perdana, Seksyen 5, Seri Kembangan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada hari sama jam 4.35 pagi berkaitan kejadian tersebut.

“Seorang lelaki tempatan ketika selesai bersahur di sebuah kedai makan di Serdang Perdana, Seksyen 5, Seri Kembangan telah ternampak seorang kanak-kanak perempuan berumur lebih kurang tiga tahun.

“Kanak-kanak itu berjalan seorang diri dengan membawa wang tunai RM2 di hadapan kedai makan tersebut.

“Lelaki itu yang juga konsultan telah membawa kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Seri Kembangan setelah kanak-kanak tersebut gagal menunjukkan rumah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu video penemuan kanak-kanak perempuan berjalan bersendirian di Seri Kembangan berdurasi 36 saat tular di aplikasi Tiktok berkenaan kejadian tersebut kira-kira jam 3.42 pagi, pada 28 Mac.

Susulan penemuan itu, Anbalagan berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut telah hadir ke Balai Polis Seri Kembangan kira-kira jam 7.50 pagi tadi setelah menyedari anak mereka tiada di dalam rumah.

Menurut Anbalagan, kanak-kanak itu dipercayai keluar rumah tanpa disedari melalui pintu rumah yang tidak berkunci.

“Kanak-kanak tersebut diserahkan kepada ibu kandungnya setelah pengesahan dibuat melalui sijil kelahiran kanak-kanak tersebut dan kad pengenalan ibu dan bapanya,” katanya.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut telah berjalan kira-kira 100 meter dari pondok pengawal keselamatan apartment tempat tinggalnya tanpa disedari pengawal keselamatan.

“Walau bagaimanapun kanak-kanak tersebut dalam keadaan baik. Kes telah selesai.

“Pihak IPD Serdang mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keprihatinan pengadu membantu kanak-kanak tersebut di mana secara tidak langsung telah membantu pihak polis.

“IPD serdang juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah yang diketahui dengan menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau IPD Serdang di talian 03-8074 2222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here