SEBUIAH bangunan dalam pembinaan di Bangkok, Thailand runtuh ekoran kejadian gempa bumi di Myanmar pukul 2.20 petang tadi. - Foto: AFP

BANGKOK – Seramai 43 pekerja di sebuah tapak pembinaan dilaporkan terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan setinggi 30 tingkat susulan gempa bumi kuat yang berpusat di Myanmar, kira-kira pukul 2.20 petang tadi.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, kejadian itu berlaku di Chatucak iaitu kawasan yang padat dengan penduduk serta menjadi tumpuan pelancong melibatkan sebuah bangunan kerajaan yang dalam pembinaan.

Video kejadian runtuhan bangunan itu turut tular di media sosial yang turut menunjukkan para pekerja berhampiran tapak bangunan tersebut bertempiaran melarikan diri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra turut mengisytiharkan keadaan darurat di Bangkok dan memanggil mesyuarat kecemasan untuk menilai impak gempa tersebut. ​

Selain itu, gegaran turut menyebabkan bangunan-bangunan di Bangkok bergoyang menyebabkan penduduk panik dan mengosongkan bangunan tinggi.

Sebahagian perkhidmatan metro dan tren di Bangkok juga ditangguhkan, manakala dagangan di Bursa Saham Thailand dihentikan sementara.

Sementara itu, beberapa bangunan serta kediaman penduduk serta sebuah jambatan yang dalam pembinaan turut dilaporkan runtuh di Mandalay, Myanmar ekoran gempa bumi tersebut.

Kerosakan teruk turut dilaporkan di Naypyidaw, Myanmar dengan hospital-hospital dipenuhi penduduk yang cedera.

Terdahulu, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada Richter menggegarkan kawasan 55 kilometer (km) barat daya dari Mandalay, Myanmar pukul 2.21 petang tadi.

Jabatan Meterologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan, pusat gempa itu terletak pada kedalaman 57 km, dengan koordinat 21.7 darjah utara dan 95.7 darjah timur.

Gegaran akibat gempa bumi kuat itu turut dirasai beberapa negara jiran termasuk Bangladesh, India, Laos dan China.

Setakat ini, masih belum ada laporan rasmi mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa susulan kejadian tersebut.

Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan pemantauan bagi menilai impak gempa terhadap kawasan terjejas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here