KLUANG – Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kluang malam tadi dalam perjalanan pulang dari rumah mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke rumah orang tua mereka di Taman Kota Jaya di sini.
Taufiq Bani, 33, berkata, kakaknya Siti Khazira, 35, bersama-sama suami, Nasaarudin Pardi, 36, merupakan jurudraf kapal bersama-sama empat anak menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada.
“Pada pukul 11.25 malam, saya tanya keadaan jalan sama ada sesak atau tidak tetapi tidak dijawab kakak. Saya tunggu sehingga pukul 2.30 pagi tetapi kakak tidak sampai lagi di rumah.
“Kami sekeluarga merancang untuk bersahur bersama pada pagi ini. Hendak kejutkan ibu tidak sampai hati sebab kakak masih belum sampai.
“Kemudian pada pukul 3.30 pagi, ayah diberitahu keluarga kakak terbabit nahas di lebuh raya dan kami segera ke hospital di sini,” ujarnya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini hari ini.
Menurut Taufiq, pemergian kakak, abang ipar serta anak bongsu mereka, Maryam Nusaibah, 2, sangat mengejut apatah lagi berbaki dua hari lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu, kali terakhir bertemu kakaknya pada minggu lepas dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Kakak beritahu kali ini dia sekeluarga akan pakai baju raya berwarna hitam. Kebelakangan ini juga saya perasan dia kerap berkongsi gambar anak-anak dan suami di Instagram.
“Belum pernah lagi kakak sekeluarga mengenakan baju raya berwarna hitam. Kakak yang merupakan anak kedua merupakan seorang yang pendiam,” katanya.
Taufiq tidak menahan kesedihan apabila memberitahu, dia dan kakaknya telah merancang untuk bersahur bersama di rumah ibu dan ayah pada pagi Jumaat.
Jelasnya, ibu mereka, Sariah Mohd Yunos, 63, dan bapa, Bani Saat, 64, sudah memberitahu anak-anak arwah namun mereka masih belum memahami situasi sebenar.
Anak ketiga arwah, Jebat Esmael, 4, telah dibenarkan pulang manakala abangnya Tuah Isqandar, 9, dan kakaknya, Teja Summayyah, 4, masih dirawat dan akan dipindahkan ke Hospital Kota Tinggi bagi memudahkan urusan keluarga, katanya.
Sebelum itu, Nasarudin dan Maryam menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, manakala bedah siasat jenazah Siti Khazira dilakukan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.
Jenazah tiga beranak berkenaan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam Kota Tinggi di sini petang ini.
Dalam kejadian berkenaan, tiga beranak tersebut antara lima yang terkorban dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, Kluang pukul 12.30 tengah malam tadi.
Kemalangan melibatkan lori kontena jenis Volvo, kereta Toyota Camry, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada dinaiki tiga beranak tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Nahas maut: Tiga beranak sepatutnya photoshoot raya pagi ini