KUALA LUMPUR – Kejayaan sesebuah organisasi politik banyak bergantung kepada semangat berpasukan yang mana pelbagai perkara dapat dicapai apabila semua ahlinya memainkan peranan.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, setiap ahli tanpa mengira kedudukan sama ada pemimpin tertinggi atau petugas parti, mempunyai peranan penting dan menyumbang kepada kejayaan bersama.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, kejayaan dalam politik juga bukan bukan hasil kerja seorang individu, sebaliknya lahir daripada kerjasama, sokongan sesama sendiri dan fokus kepada matlamat yang sama.
“Sama ada berucap di pentas atau mengurus di lapangan, semua tugas ada nilai. Peranan yang jelas dan ruang untuk menyumbang akan mengukuhkan organisasi.
“Budaya kerja berpasukan yang sihat sangat penting. Ahli harus rasa dihargai, didengar, dan diberi kepercayaan.
“Rasa kepunyaan tidak datang dengan sendiri, ia perlu dipupuk dengan kepercayaan dan rasa hormat antara satu sama lain,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, kata Salleh, beliau mengakui wujud perbezaan pendapat dan personaliti dalam sesebuah parti yang ia adalah perkara biasa dalam mana-mana pasukan.
Namun, apa yang penting, ujar beliau, adalah bagaimana perbezaan itu diuruskan iaitu menerusi perbincangan yang matang, menghormati pandangan orang lain dan kekal fokus kepada matlamat sama.
Jelasnya, perbezaan itu juga tidak boleh dibiarkan menjadi punca serangan peribadi dan konflik dalaman yang hanya akan melemahkan parti.
“Perpaduan dalaman bukan bermaksud semua perlu diam. Kita boleh bersuara dan beri pandangan dengan cara yang membina dan penuh hormat.
“Pemimpin perlu tunjuk contoh, dengar pandangan, libatkan semua, dan selesaikan perbezaan dengan cara yang positif,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana sikap mementingkan diri dan ego berlebihan harus ditinggalkan kerana boleh merosakkan semangat berpasukan.
Ujarnya, organisasi yang kuat bersatu atas matlamat sama, menghargai sumbangan semua dan membina rasa kekitaan dalam pasukan.
“Politik bukan soal siapa berkuasa, tapi bagaimana kita boleh satukan semua untuk capai matlamat bersama. Bila kita bersatu, kita lebih kuat,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah, UMNO dilihat masih bergelut untuk menyelesaikan pertelingkahan dalaman khususnya melibatkan pemimpin utama parti tersebut.
Terbaharu, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan saling berbalas kenyataan yang tidak selari berhubung penentuan kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN-17 hujung tahun ini. – MalaysiaGazette