KUALA LUMPUR – Seorang peguam kanan mencadangkan supaya operator kenderaan berat seperti lori dan treler turut ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kegagalan menyelenggara kenderaan mereka dengan baik dalam kejadian kemalangan maut.
Muhammad Hasif Hasan berkata, berdasarkan pengamatannya di mahkamah, sekiranya berlaku kemalangan maut melibatkan kegagalan kenderaan berat seperti tayar pecah, tayar tercabut atau brek gagal berfungsi, yang dipersalahkan atau dituduh hanyalah pemandu.
Jelasnya, kesalahan memandu secara berbahaya atau melulu sehingga menyebabkan kematian pula hanya disabitkan dengan hukuman penjara lima tahun dan denda maksimum RM20,000.

Sedangkan, ujar beliau, syarikat atau operator lori juga bertanggungjawab menyelenggara dan memastikan aspek keselamatan kenderaan mereka dari semua sudut.
“Bagi saya, operator patut dituduh juga dan jika sabit kesalahan wajib dipenjara dan didenda.
“Mungkin cara ini akan memaksa operator kenderaan berat lebih bertanggungjawab, cakna kepada kenderaan masing masing dan terpenting akan menakutkan mereka,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Muhammad Hasif turut berkongsi pengalamannya mengendalikan satu kes kemalangan maut membabitkan pemandu bas henti-henti beberapa tahun lalu.
Jelasnya, pemandu bas itu sempat menjerit memaklumkan penumpangnyanya brek kenderaan itu tidak berfungsi sebelum merempuh penunggang motosikal.
“Di akhir kes, pemandu disabitkan di bawah tuduhan memandu dengan tidak cermat dan dihukum manakala operator bas selesa di dalam bilik berhawa dingin pejabat tanpa dikenakan apa apa hukuman dan pertuduhan.
“Saya nampak tidak adil kerana anakguam saya berseorangan yang bersalah tetapi punca kerosakan brek adalah akibat kegagalan syarikat bas menyenggara bas dengan baik,” katanya.
Media hari ini melaporkan, lima maut dalam kemalangan yang berpunca daripada tayar depan sebuah treler yang pecah hingga menyebabkan gagal dikawal sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kejadian pukul 11.30 malam tadi itu berlaku di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, Kluang, Johor melibatkan empat kenderaan dengan dua daripadanya terbakar.
Kemalangan itu turut menyebabkan lapan mangsa lain mengalami kecederaan termasuk tiga daripadanya parah.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pemandu lori muatan mesin yang menjadi punca kemalangan itu sudah diambil keterangan dan ditahan reman hari ini. – MalaysiaGazette